Saturday, December 19, 2009

Mukhtaaru s-Sihaah

Kitab ketiga yang diperkenalkan ini adalah sebuah mukjam. Iaitu Mukjam Mukhtaaru s-Sihaah, karangan al-Imam, Zainu d-Diin, Muhammad bin Abi Bakar bin Abdu l-Qaadir ar-Rooziy al-Hanafii, masyhur dengan ar-Rooziy, wafat pada tahun 691 hijrah.

Menurut salah seorang pentahqiq (Syihaabu d-Diin Abu 'Amru), nama ini kemudiannya bertukar menjadi Tartiibu Mukhtaari s-Sihaah, kerana, isi kandungan Mukhtaar disusun semula mengikut abjad alfabet, iaitu bermula alif, hinggalah ya. Mukjam Mukhtasar yang asal tidak disusun mengikut susunan alfabet.

Mukhtaaru s-Shiihah ini sebenarnya adalah ringkasan kepada mukjam Taaju l-Lughah wa Sihaahu l-'Arabiiyah, yang masyhur dengan nama mukjam Sihaah, karangan Abu Nasr al-Jauhariy. Mukjam Sihah ini sangat mendapat perhatian ulamak dan ahli ilmu, lalu disyarahkan, dihaa-syiahkan, bahkan ditalkhiskan (diringkaskan). Diringkaskan lalu jadilah mukjam ini, Mukhtaaru s-Sihaah.

Saya membeli dua kali. Kali kedua kerana tahqiqnya lebih elok, dan kualitinya lebih baik, berbanding kali pertama yang agak gesa-gesa, dan banyak kalimah yang gugur. Cetakan yang saya dapatkan ini merupakan cetakan Daaru l-Masyaarii', tetapi saya dapati juga ada cetakan Daaru l-Hadiis dan beberapa maktabah lain juga.

Seperti namanya, ia sudah tentu mempunyakan mawad (daftar kata) yang lebih sedikit berbanding mana-mana mukjam lain, kerana saiznya yang kecil, namun ia tidak harus diremehkan kerana sumber ambilannya yang mantap. Barangkali Imam ar-Raazii ketika meringkaskan ini berpendapat bahawa kandungan Sihaah terlalu jitu, dan inginkan isinya lebih mudah diserap dan diterima oleh mereka yang bukan ahli seni dan sastera.

Pun begitu, beliau juga melakukan istidrok, dengan menambah dan membetulkan beberapa isi kandungannya ketika melakukan ringkasan. Pada pandangan saya, mukjam ini bagus untuk pemula seperti kita dalam mengenali Bahasa Arab, kerana ia ringan, mudah dan tidak terlalu padat. Membacanya akan menyedarkan kita bahawa pengarang mengambil manhaj 'kata berlawan' bagi menerangkan beberapa makna kalimah, dan bukannya mencarikan 'kata seerti' untuk menerangkan maknanya dalam kebanyakan keadaan. Seperti, kalimah pandai bererti 'lawan bodoh', dan bukannya dengan lafaz seerti seperti 'bijak', atau 'cerdik'.

Dapatkan dengan harga semurah LE 10-LE 15 sahaja.

ترتيب مختار الصحاح

0 comments: