Wednesday, May 19, 2010

At-Tashiil Li 'Uluumi t-Tanziil

Baru-baru ini saya membeli dan cuba-cuba membaca sebuah kitab yang bernama (At-Tashiil Li 'Uluumi t-Tanziil), sebuah kitab tafsir, karangan al-'Allaamah al-Haafiz al-Mufassir Muhammad bin Ahmad bin Juziy al-Kalbiy al-Ghornaa-thii al-Andaluusiy, yang dilahirkan pada tahun 693 hijrah dan wafat pada 741 hijrah. Atau dikenali dengan nama tafsir ibnu juzziy. Kitab ini kali pertama saya dengar ketika terlihatkan jadual pengajian Syeikh Muhammad Ibrahim al-Kataaniy.

Kitab ini bagus untuk semua penuntut ilmu, kerana ia mempersembahkan intipati yang sangat penting dipegang bagi mubtadi-iin (pemula) seperti kita. Saya memetik sedikit isi yang dinyatakan oleh pengarang dalam khutbah kitabnya seperti berikut. Beliau memilih manhaj tafsir yang ringkas, namun menghimpunkan banyak seni ilmu, itu setelah dilakukan penapisan dan mengerat yang berjela-jela dan memaparkan hanya yang intipati utama. Beliau meringkas ungkapan, dan mengelakkan pengulangan.

Beliau juga menambah beberapa poin dan isi penting yang tidak didapati dari kitab lain, kerana ia adalah dari beliau sendiri. Juga beliau menjelaskan permasalahan, dan meleraikan simpulan yang mengganggu pemahaman penuntut. Beliau melakukan tahqiq kepada kalam mufassirin, memilih yang sahih selamat daripada yang bermasalah, membezakan yang rajih dan kuat daripada yang marjuh dan lemah.

Di dalam tafsir ini, kita akan mendapati beliau menyusun dua mukaddimah sebelum memasuki kepada tafsir ayat dan surah. Mukaddimah ini bagi saya memaparkan intipati yang sangat penting. Mukaddimah pertama mengandungi 12 bab, setiap bab mewakili satu bidang ilmu yang penting, yang mempunyai kaitan dengan pemahaman kitab al-Quran, iaitu pertama mengenai sejarah penurunan al-Quran, kedua mengenai makkiiyah dan madaniiyah, ketiga mengenai makna dan ilmu yang terkandung dalam al-Quran, keempat mengenai seni ilmu yang berkaitan dengan al-Quran, kelima mengenai sebab khilaf di kalangan mufassiriin, keenam mengenai nama-nama para mufassirin dan tobaqatnya, ketujuh mengenai nasakh dan mansukh, kelapan mengenai qiraat, kesembilan mengenai waqaf dalam bacaan al-Quran, kesepuluh mengenai fasohah, balaghah dan adawat bayan, kesebelas mengenai i'-jaaz al-Quran dan yang keduabelas mengenai kelebihan al-Quran.

Mukaddimah kedua adalah himpunan lafaz terpilih dan dijelaskan maknanya. Ini kerana lafaz-lafaz ini didapati berulang banyak kali di dalam al-Quran, maka ia dikumpulkan dan dinyatakan di dalam mukaddimah kedua ini supaya tidak perlu dinyatakan berkali-kali di dalam tafsir nanti. Bahkan ia memudahkan untuk dirujuk dan dihafal.

Setelah saya membaca kedua-dua mukaddimah dan masuk membaca tafsir surah al-Faatihah juga beberapa ayat awal surah al-Baqarah, saya mendapati kitab ini sangat baik dibaca bagi pemula, kerana ia dikarang oleh seorang mufassir yang juga merupakan seorang al-haafiz, seorang yang mendalami bukan sahaja al-Quran bahkan hadis, dan beliau meneliti sekian banyak kitab tafsir, menekuni dan memilih intipatinya. Ini dinyatakan dalam mukaddimah beliau.

التسهيل لعلوم التنزيل

Saturday, December 19, 2009

Mukhtaaru s-Sihaah

Kitab ketiga yang diperkenalkan ini adalah sebuah mukjam. Iaitu Mukjam Mukhtaaru s-Sihaah, karangan al-Imam, Zainu d-Diin, Muhammad bin Abi Bakar bin Abdu l-Qaadir ar-Rooziy al-Hanafii, masyhur dengan ar-Rooziy, wafat pada tahun 691 hijrah.

Menurut salah seorang pentahqiq (Syihaabu d-Diin Abu 'Amru), nama ini kemudiannya bertukar menjadi Tartiibu Mukhtaari s-Sihaah, kerana, isi kandungan Mukhtaar disusun semula mengikut abjad alfabet, iaitu bermula alif, hinggalah ya. Mukjam Mukhtasar yang asal tidak disusun mengikut susunan alfabet.

Mukhtaaru s-Shiihah ini sebenarnya adalah ringkasan kepada mukjam Taaju l-Lughah wa Sihaahu l-'Arabiiyah, yang masyhur dengan nama mukjam Sihaah, karangan Abu Nasr al-Jauhariy. Mukjam Sihah ini sangat mendapat perhatian ulamak dan ahli ilmu, lalu disyarahkan, dihaa-syiahkan, bahkan ditalkhiskan (diringkaskan). Diringkaskan lalu jadilah mukjam ini, Mukhtaaru s-Sihaah.

Saya membeli dua kali. Kali kedua kerana tahqiqnya lebih elok, dan kualitinya lebih baik, berbanding kali pertama yang agak gesa-gesa, dan banyak kalimah yang gugur. Cetakan yang saya dapatkan ini merupakan cetakan Daaru l-Masyaarii', tetapi saya dapati juga ada cetakan Daaru l-Hadiis dan beberapa maktabah lain juga.

Seperti namanya, ia sudah tentu mempunyakan mawad (daftar kata) yang lebih sedikit berbanding mana-mana mukjam lain, kerana saiznya yang kecil, namun ia tidak harus diremehkan kerana sumber ambilannya yang mantap. Barangkali Imam ar-Raazii ketika meringkaskan ini berpendapat bahawa kandungan Sihaah terlalu jitu, dan inginkan isinya lebih mudah diserap dan diterima oleh mereka yang bukan ahli seni dan sastera.

Pun begitu, beliau juga melakukan istidrok, dengan menambah dan membetulkan beberapa isi kandungannya ketika melakukan ringkasan. Pada pandangan saya, mukjam ini bagus untuk pemula seperti kita dalam mengenali Bahasa Arab, kerana ia ringan, mudah dan tidak terlalu padat. Membacanya akan menyedarkan kita bahawa pengarang mengambil manhaj 'kata berlawan' bagi menerangkan beberapa makna kalimah, dan bukannya mencarikan 'kata seerti' untuk menerangkan maknanya dalam kebanyakan keadaan. Seperti, kalimah pandai bererti 'lawan bodoh', dan bukannya dengan lafaz seerti seperti 'bijak', atau 'cerdik'.

Dapatkan dengan harga semurah LE 10-LE 15 sahaja.

ترتيب مختار الصحاح

Friday, December 18, 2009

Al-I'-roob 'An Qawaaidi l-I'-roob

Kitab kedua yang saya ingin perkenalkan adalah sebuah kitab kecil yang bertajuk; al-I'-roob 'An Qawaaidi l-I'-roob, karangan Ibnu Hisyam An-Nahwiy, seorang pakar dalam ilmu Nahu, yang merupakan anak murid kepada Imam Abi Haiyaan al-Andalusiy, pengarang kitab tafsir al-Bahru l-Muhiit.

Kitab ini merupakan pra kitab Murghni l-Labiib. Ia dikarang oleh beliau, sebelum beliau mengarang kitab Murghni l-Labiib. Oleh kerana itu, isinya, menggambarkan idea yang terkandung dalam kitab Murghni. Oleh itu, disyorkan membaca kitab kecil ini dahulu sebelum mendalami Murgni.

Kitab al-I'-roob ini membentangkan mengenai jenis-jenis ayat, yang mempunyai mahal (kedudukan) dalam i'-rob, dan yang tidak mempunyai mahal dalam i'-rob. Ia juga mensyarahkan beberapa makna huruf dan isim. Juga beberapa perkara lain yang perlu diketahui dalam Nahu Bahasa Arab.

Bagi saya, sekalipun ia amat ringkas, tetapi banyak isi yang boleh diambil istifadah. Tetapi membacanya memerlukan anda memiliki sekurang-kurangnya sekebuk ilmu Nahu dahulu. Wallahu A'-lam.

الإعراب عن قواعد الإعراب

Wednesday, December 9, 2009

Mukjam Arabi Asasi

Kitab pertama yang saya perkenalkan ini adalah sebuah mukjam, yang diberi nama, al-Mu'-jamu l-'Arabii l-Asaasii, yang diterbitkan oleh al-Munazh-zhomah al-'Arabiah Li t-Tarbiyah Wa ts-Tsaqafah Wa l-'Uluum (Pertubuhan Pendidikan, Pengetahuan dan Sains, Arab). Ia dikarang secara khusus untuk orang 'ajam (bangsa selain Arab), dan di dalam prakatanya juga menyebut, bahawa ia juga untuk bangsa Arab, kerana Bahasa Arab itu adalah satu, untuk ahli dan bukan ahlinya.

Mukjam, bukanlah bermaksud meng-'ajam-kan anda (menjadikan anda 'ajam), seperti yang diwakili oleh wazan af-'ala, tetapi adalah untuk menghilangkan ke-'ajam-an (ketidakfasihan bahasa Arab) anda. Itu anda akan fahami apabila banyak meneliti wazan af-'ala. Mukjam ini bagi saya sangat bermanfaat dan memudahkan, terutamanya bagi kita yang di peringkat awal mengenali Bahasa Arab. Saya sendiri masih di peringkat awal mengenali Bahasa Arab.

Sekalipun jumlah mawad (kalimah yang didaftarkan) kurang berbanding dengan mukjam lain seperti al-Wasiit, tetapi kedapatan juga beberapa kalimah yang terdapat di mukjam ini dan tidak terdapat di lainnya. Antara kelebihan lain mukjam ini adalah, ia banyak menyediakan contoh-contoh ayat yang membantu mubtadi-iin (golongan permulaan) seperti kita ini memahami dengan lebih baik lagi. Diselitkan juga masal (perumpamaan) Arab, bahkan menyertakan bersama beberapa bentuk tarkiib (frasa) yang membawa maksud tambahan, lebih dari sekadar maksud asal kalimah.

Dari mukjam ini saya mempelajari banyak perkara mengenai bahasa Arab. Walaupun ya, pada sesetengah ketika terdapat mawad (daftar kata) yang sukar kerana ia merupakan mustolahaat (istilah) ilmu dan sains. Menyelak lembar ke lembar anda akan mengetahui bahawa ia bukan dikarang oleh satu orang bahkan ramai pakar-pakar dalam bahasa Arab, yang juga merupakan orang Arab. Ia juga merupakan mukjam yang menghimpunkan majaami' lughah arabiah (pelbagai akademi bahasa Arab) dari beberapa negara, yang bertanggungjawab mengawasi Bahasa Arab.

المعجم العربي الأساسي

Kutub Khanah

Tujuan blog ini adalah untuk memperkenalkan kitab dan ulamak. Semoga kewujudannya memberi manfaat, meransang minat membaca, dan menambah ilmu dan takwa kepada-Nya. Allahumma Aamiin.